Bertugas sebagai seorang penyelamat bukanlah sesuatu pekerjaan yang mudah.Ia memerlukan kemahiran dan keyakinan diri yang tinggi. Kemahiran yang dipelajari oleh seorang penyelamat mempunyai nilai yang amat berharga dan mempunyai kualiti yang tiada tolok bandingnya. Sukarelawan-sukarelawan ini menjalankan tugas tanpa memikirkan ganjaran yang bakal diperolehi suatu masa nanti malah mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi menyelamatkan sesiapa sahaja yang dalam kesusahan, mengalami kemalangan serta kecelakaan. Keikhlasan yang wujud dalam diri setiap anggota sukarelawan merupakan satu aspek yang penting ketika menjalankan tugas mereka. Perkhidmatan kecemasan 999 bermaksud perkhidmatan kecemasan yang diberikan kepada orang ramai yang menghadapi sebarang keadaan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda serta persekitaran yang perlu diambil tindakan serta-merta.
Saya merupakan salah seorang anggota sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam yang berkuatkuasa pada 16 Mei 2008 bertitik tolak daripada aktiviti kokurikulum badan beruniform iaitu dibawah Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Saya telah menjalani beberapa kursus yang diperlukan bagi mengikuti perkhidmatan kecemasan 999 (Rescue 999).
Kursus-kursus yang dipelajari menerapkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menyelamatkan seseorang iaitu bermula daripada kemahiran asas yang merangkumi asas pertolongan cemas, asas melawan kebakaran dan asas penyelamat sehingga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu Basic Life Support (BLS), Basic Trauma Life Support (BTLS) serta kursus Melawan kebakaran. Kemahiran ini diperlukan bukan sahaja untuk membantu masyarakat malah untuk membantu diri sendiri dan keluarga ketika berlakunya sesuatu perkara yang tidak diigini kelak. Bak kata pepatah melayu sediakan payung sebelum hujan.
Tanggal 12 Disember 2009, saya telah berjaya dipilih untuk mengikuti Rescue 999 di bawah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia cawangan Negeri Sembilan. Saya bersama dua lagi rakan yang lain iaitu Aidah dan Farahain yang juga merupakan anggota Pertahanan Awam yang pertama kalinya mengikuti Rescue 999 ini. Pada mulanya, saya berasa amat gementar untuk menimba pengalaman yang sukar diperolehi oleh orang lain ini. Namun dengan penuh keyakinan dan sokongan dari rakan-rakan, saya telah berjaya mengikuti Rescue 999 ini dengan jayanya. Tepat jam 8.00 pagi dengan berpakaian baju operasi penuh, kami melapor diri kepada penyelia yang bertugas di bilik operasi JPAM Seremban sebagai pertugas pada hari tersebut. Bilik yang beroperasi selama 24 jam itu kelihatan seperti mengalu-alukan ketibaan kami. Layanan mesra yang diberikan oleh anggota-anggota lama dan pegawai, mengurangkan perasaan kurang selesa dan debaran kami ketika menghadapi saat-saat genting.
Seterusnya, kami diajar cara-cara menggunakan alat komunikasi dengan betul apabila menerima panggilan sama ada dari talian telefon mahupun melalui sistem dispatch berkomputer. Kedua-kedua sistem ini mempunyai tatacara tersendiri untuk membuat panggilan dan menjawab panggilan mengikut apa yang telah ditetapkan. Kami juga diperkenalkan dengan alatan yang berada di dalam Ambulans serta fungsi penggunaannya. Pada masa yang sama, kami dibekalkan dengan sebuah buku log petugas latihan penempatan Rescue 999 yang mengandungi tatacara apabila menjadi petugas dimana kami perlu mengetahui setiap tugas-tugas sebagai pasukan penyelamat. Kemudian, kami dibahagikan kepada dua kumpulan, Farahain ditugaskan sebagai call dispatcher manakala Aidah dan saya sebagai pasukan penyelamat. Kami berdua ditugaskan untuk memeriksa kelengkapan di dalam Ambulans untuk mengetahui sama ada inventori-inventori sudah mencukupi atau tidak dan ianya mesti berada dalam keadaan yang tersusun dan selamat.
Debaran mula terasa apabila deringan telefon berbunyi tepat jam 9.15 pagi. Semua anggota penyelamat berada dalam keadaan siap sedia. Call dispatcher menerima panggilan dari Pusat Kawalan 999 Lembah Klang. Beliau menjalankan tugas menerima panggilan dan mengisi borang panggilan serta mengambil butiran-butiran yang dikehendaki. Ganggang telefon diletakkan dan penyampaian maklumat kepada anggota penyelamat berlaku. Saya dipilih untuk mengikuti operasi menyelamat yang pertama iaitu kes binatang berbisa. Seekor ular tedung telah memasuki sebuah rumah dan penghuni rumah tersebut dalam keadaan terancam. Tidak sampai 2 minit saya bersama tiga orang anggota lama bergegas ke tempat kejadian bersama peralatan-peralatan yang diperlukan. Setibanya di tempat kejadian, kami bergegas mendapatkan maklumat lanjut dari penghuni rumah dan terus menjejaki tempat persembunyian ular tersebut. Tugas kami menjadi lebih sulit apabila ular tersebut dipercayai bersembunyi di dalam bilik stor. Proses pengosongan bilik stor itu dijalankan dengan berhati-hati. Dengan kecekapan anggota yang terlatih, tidak sampai lima minit ular tedung hitam sepanjang 8 kaki berjaya ditangkap. Walaupun saya berasa sedikit gementar, namun dapat jua saya mengharunginya dengan keadaan selamat.
Setibanya saya di bilik operasi, pengalaman tersebut saya kongsikan bersama rakan-rakan yang lain. Pengalaman pertama menaiki Ambulans amat memeningkan kerana ambulans yang dipandu sangat laju untuk sampai ke tempat kejadian dengan segera. Kepala saya seakan-akan berpinar dan ingin muntah tetapi mujurlah ianya tidak berlaku dan dapat jua saya menahannya. Pada masa lapang, bilik operasi digunakan untuk berehat dan bersedia menerima panggilan kecemasan yang seterusnya. Tidak berapa lama kemudian telefon mula berdering, namun call dispatcher mengesahkan bahawa ianya panggilan palsu kerana ganggang diletakkan sebelum sempat beliau menjawab. Keadaan menjadi tenang semula. Kami berbual-bual dengan anggota-anggota lama untuk mencungkil rahsia pengalaman-pengalaman mereka dan mempelajari sedikit demi sedikit sesuatu perkara yang tidak pernah kami ketahui.
Sedang kami asyik berbual, call dispatcher menerima satu panggilan telefon lagi iaitu kes kemalangan jalan raya. Jantung saya mula berdebar begitu juga Aidah yang menunjukkan muka gementar. Namun kami berdua tetap bersedia untuk menjalankan tugas. Seramai empat orang anggota bergegas ke tempat kejadian.
Lima minit kemudian, kami tiba ditempat kejadian. Kami sudah bersiap sedia untuk turun dengan memakai alat kelengkapan seperti sarung tangan dan penutup mulut. Kelihatan orang ramai mengelilingi tempat kejadian. Bermacam-macam perkara yang bermain di fikiran saya. Sebaik sahaja turun dari ambulans, ketua pasukan kami mengarahkan saya supaya mengenalpasti tindakbalas mangsa. Saya mula berasa takut dan seakan-akan tidak tahu apa yang harus saya lakukan, namun kaki saya tetap melangkah ke arah mangsa kemalangan.... (nantikan sambungan seterusnya>>)
0 comments:
Post a Comment